MATA KECILKU
Nukilan : Ammu Afdlin Shauki aka Abu Miasara
Kau buat mataku kecil
Kau buat badanku besar
Kau sayangkan aku
Kau buatku serba kekurangan
Supaya aku berusaha mencari kejayaan
Kemudian kau limpahkan dengan kesenangan
Kau sayangkan aku
Aku leka dengan hidup dunia
tiada syukur tersemat didada
hari - hari bergelumang dosa
perhubungan kita tidak ku jaga
seperti seorang anak tak mengenang jasa
Kau sayangkan aku
Aku yang sudah hanyut jiwaku
rasa tak layak lagi bersamaMu
sangkaku tertutup sudah pintu kemaafanMu
kerana kealpaanku
kerana kebodohan diriku
kerana keangkuhan diriku
keranaku buta, butakan mata kecilku
masihkah Kau sayangkan aku?
F16 Israel membedil Gaza
Kau sayangkan aku
Bom - bom Israel mencari syuhada'
kesengsaraan di tanah Gaza
kehancuran merata - rata
kezaliman yang tak terkata
Kau sayangkan aku
Kemanusiaan membawaku ke sana
Kau permudahkan segala cara
walaupun debar menggoncang dada
Kau beri ku kekuatan minda
Selamat perjalananku ke Gaza
agar akhirnya dapat ku guna
mata yang lama tak bercahaya
kerana hanya mengejar dunia
Kau sayangkan aku
Mataku melihat, runtun hatiku
bukan kerana kematian dan kesusahan di situ
Gaza tanah barakahMu
walaupun semuanya kelabu
dipenuhi oleh kekasih - kekasihMu
yang tidak pernah menyoal cintaMu
yang tak pernah menyalahkanMu
Walaupun apa saja kesusahan yang kau beri
kesyukuran tak pernah meninggalkan hati
semua kekasih - kekasihMu itu merindui
bersamamu di Jannah nanti
Air mata berlinangan dari mata kecilku
melihat ketenangan wajah kekasihMu
melihat keberanian jiwa kekasihMu
melihat keredhaan hati kekasihMu
melihat ketaqwaan hidup kekasihMu
Senyum kekasihMu penuh cahaya
senyum terukir walaupun duka
senyum diberi tak memilih siapa
senyum penuh kesyukuran padaNya
Aku terduduk, terdiam melihatnya
mata aku berkelip tidak percaya,
tidak pernah aku melihat sepertinya
adakah aku dibumi nyata
ataupun menghampiri ahli-ahli syurga
Palestin bergolak atas keizinanMu
Kau mahu Palestin menjadi guru
pelajaran bagi semua umat Muhammad SAW-Mu
Menyuluh jalan pulang padaMu
Aku meminta pengampunan dariMu Ya Allah
kerana setelah semua yg aku laku
Kau masih sudi membuka mataku
Kau masih sudi mahu bersamaku
Kau masih sudi sayangkan aku
Kau sayangkan aku
Aku bersyukur dan merasa rendah
kerana diriku yang masih kau endah
akanku balas cintamu dengan seluruh jiwaku
dengan badan besarku
dengan seniku,
dengan jenakaku,
dengan akalku
dengan mata kecilku
Yang kini melihat kebesaran Mu
Kekuatan Mu,
kebijaksanaanMu,
pengampunanMu
cintaMu yang memang tidak ada seteru.
semua yang ku lakukan kini keranaMu
UntukMu
inginku menjadi Qalam
Akan aku ceritakan kebesaranmu kepada sekian alam
Akanku sampaikan kasihMu yang sangat mendalam
Ya aku,
Budak gemuk yang 120kg ini
ISLAM
Wallahua'lam Bisshawab
0 comments:
Post a Comment